Sambungan...
Abang Nasir janji nak pickup jam 5.30 am lepas solat Subuh. Pagi tu aku dapat mesej dari abang Zakir, adik abang Nasir. Dia akan gantikan abang dia untuk trip hari ini. Sambil tenyeh makeup tu aku call Epul member aku. Haram tak jawab. Maybe tengah mandi kot. Lepas dah siap makeup, aku try call lagi sekali. Haram tak jawab. Aku rasa member ni mesti tak bangun lagi. Tak boleh jadi ni, abang tuktuk dah sampai.
Last option terpaksalah aku masuk bilik dia. Kejap-kejap aku berlegar depan pintu dorm dia, takkanlah aku nak sergah masuk bilik orang. Tapi nak ketuk pintu takut mengacau orang lain yang sedang lena dibuai mimpi indah. Aku tawakal je la masuk pintu dia, nasib tak berkunci. Aku main belasah je teka katil dia dan mudah-mudahan aku kejut orang yang betul la. Naya pula kejut orang lain. Hahaha. Nasib la jumpa katil dia, bukan main sedap member tidur, patut tak angkat call aku.
Aku panggil nama dia, baru dia terjaga. Terkejut kawan tu terus mandi koboi. Abang Zakir gelak-gelak je pasal aku bagitau si Epul tak bangun lagi. Bila difikirkan semula macam aku ni warden buat sportcheck budak tak pergi solat Jumaat. Epul..epul..hampeh sungguh terlepas sunrise.
Pagi-pagi rasa nyaman je naik tuktuk disapa oleh angin pagi, sampai nak terbang topi aku. Abang Zakir bagi kuih untuk breakfast, panas-panas pula tu. Epul tak makan sebab dia sangatlah fussy eater. Pagi-pagi aku dah bising macam makcik Joyah sebab member ni bangun lambat sampai aku kena kejut dia kat bilik. Dia gelakkan aku je, sabar je la dapat member macam ni.
Sewa Tuktuk sehari 15 USD ke Angkor Wat, sampa puas round kuil tu pun boleh. Hari ini kami akan melawat ke Angkor Wat, Bayon Temple dan Ta Phrom. Sebenarnya banyak kuil boleh dilawati tetapi 3 kuil ini wajib dilawati kalau ke Kemboja. Abang Nasir ada cakap setengah hari pun dah cukup dan itu terpulang pada orang. Ada yang 2 jam dah surrender sebab berjalan-jalan di kompleks Angkor Wat memenatkan dan siapa yang tak minat sejarah mesti akan rasa bosan. Tapi bagi aku tempat ini sangat rare dan cun untuk photoshoot (sis kaki gambar).
|
Tiket masuk ke Angkor Wat |
Dalam 15 minit perjalanan kami dah sampai ke kaunter tiket untuk beli tiket masuk ke Angkor Wat. Harga boleh tahan mahal, 37 USD, tapi sekali dalam seumur hidup kita pejam mata je. Lepas bayar dia akan tangkap gambar kita dan nanti dia print tiket tu siap ada gambar kita. Tak bolehlah nak pass tiket kat orang lain. Tiket ini boleh guna seharian. Ada pakej sehari, 3 hari dan sebulan. Kami ambil yang sehari je.
Aku baca kat blog ada yang cakap sehari pun tak cukup masa untuk explore semua tempat. Bagi kami yang kejar masa nak ke Bangkok malam ni, dapat pergi ke tempat yang cantik dan wajib pun dah memadai. Sebab trip kali ini memang padat dan tak boleh nak lama-lama di suatu tempat. Kira macam singgah kejap je.
Lepas dah dapat tiket kami mulakan trip ke Angkor Wat. Bila dah sampai ke situ, memang terpesona dengan seni ukir kuil Khmer. Sesuai sangat diiktiraf oleh UNESCO. Matahari tak berapa nak naik lagi dan aku nampak ramai jurugambar dah ambik port masing-masing untuk dapatkan gambar yang cun. Aku dengan member santai-santai je sambil ambil gambar.
Mengenai Angkor Wat
|
Selamat Pagi, Angkor Wat |
Angkor Wat dalam bahasa Khmer bermaksud “kota kuil” dan di bahagian utara Kemboja di Siem Reap yang merupakan salah satu tapak arkaeologi terpenting di Asia Tenggara.
Ia mempunyai keluasan sepanjang 400 kilometer persegi dan menempatkan kuil-kuil, struktur hidraulik dan laluan komunikasi yang telah menjadi pusat pemerintahan zaman Khmer untuk beberapa abad lamanya.
Angkor Wat dibina pada awal abad ke-12 oleh Raja Khmer Suryavraman II sebagai pusat ibadat negara di ibu kota Angkor dan juga sebagai pengabdian kepada Dewa Vishnu.
Monumen ini amat mengagumkan dan memenuhi ciri-ciri peradaban luar biasa kerana ia dilengkapi dengan dengan pelan bandar dan takungan air yang luas. Kuil-kuil seperti Angkor Wat, Ta Phrom dan Bayon merupakan contoh kepada senibina Khmer yang berkait rapat dengan konteks geografi dan dipenuhi dengan makna simbolik. Ia merupakan tapak arkaelogi utama yang mempersembahkan budaya, agama dan nilai-nilai simbolik serta mempunyai senibina tertinggi, arkaelogi dan kepentingan artistik.
Kini, ia telah menjadi sebahagian dari Angkor Tapak Warisan Dunia sejak 1992 dan menjadi simbol kebanggaan bagi rakyat Kemboja.
Pengalaman di Angkor Wat
Tak hairanlah kenapa bayar lebih kerana tapak ini diiktiraf oleh UNESCO sebagai candi terbesar di dunia. Senibinanya memang sangat lawa dan gambar anda memang super duper awesome. Biasa orang akan tunggu sunrise dan sunset. Sunrise dah terlepas, nak harapkan Sunset memang kempunan sebab kami dah kena gerak ke Bangkok. Salahkan si Epul, hahaha.
Kalau nak melawat Angkor Wat ini, pastikan anda cukup sihat kerana kawasan luas dan spot yang best untuk anda dapatkan shot terbaik. Pastikan anda memakai kasut sukan, bawa payung, topi dan air sebab baru sejam sis dah rasa panas. Panas kering membuatkan badan lagi letih, tapi untuk mendapatkan gambar terbaik sis sanggup berpeluh. Jangan risau kalau rasa haus, ramai penjual air kelapa dan air sejuk di sekitar sini. Aku dengan member pekena air kelapa 1 USD, sebiji kelapa dia bagi. Lepas habis minum kita toreh isi dia pula. Malangnya aku punya kelapa takde isi, jadi aku tibai member punya. Hihihi.
Lepas dah habis pusing-pusing satu Angkor Wat dalam 2 jam kemudian aku dah panggil tuktuk tunggu tempat yang kami turun. Kuil Angkor Wat dengan Bayon dan Ta Phrom terpisah dan kena naik tuktuk untuk pergi ke kuil-kuil tersebut. Ta Phrom ini lokasi filem Tomb Raider. Pokok yang Angelina Jolie shooting tu memang teramat famous dan korang kena baris semata-mata nak ambil gambar. Dengan panas terik sis gagahkan juga demi untuk memenuhi misi bergambar di lokasi Tomb Raider (walaupun sis tak layan pun cerita tu).
Dah dapat gambar diingini, kami teruskan lagi masuk ke dalam kuil, tapi yang tak best sebab tempat masuk dan tempat keluar lain. Jadi kena cari jalan lain untuk keluar. Tadi dah janji dengan abang Zakir untuk tunggu di pintu barat. Kami kena keluar ikut jalan keluar yang betul sebab kat dalam ni line telepon takde. Nanti buat drama mencari abang tuktuk pula. Sesat juga la nak cari gate yang betul sampai banyak kali pergi tempat yang sama.
Paling seram bila kami lalu satu lorong tu nenek jual tangkal dan kebetulan dia pun tengah jampi tangkal tu (ada klien mat salleh). Tak tahulah tangkal apa, tapi lalu kat makcik tu pun dah seram. Lepas dah pusing-pusing akhirnya kami jumpa jalan keluar juga.
Last sekali pergi ke Bayon Temple, kat sini banyak kuil-kuil diukir dengan wajah Buddha. Kuil ini kecil je dan dalam 30 minit dah settle. Aku pun dah tak larat sebab badan dah berkicap macam pergi ke bendang.
Comments
Post a Comment